Tuesday, May 14, 2013

Menulis

Menulis, satu perbuatan yang tampak mudah tapi amat sukar dipraktikan. Tidak semudah berbicara, dilontar kata bertalu tidak menjadi masalah, namun menulis adalah sesuatu yang kekadang sukar, itu yang aku sedari kekurangan dalam diriku, penulisan.

Dari zaman sekolah lagi aku menulis seperti berbicara, teguran guru-guru satu ketika dulu " Mana noktah? mana koma?" itulah yang masing terngiang-ngiang pada ketika ini. Aku memang lemah kekadang aku teringat aku cuma tersenyum kelat diketika ditegur kalau aku menulis karangan. Aku tak sedar tabiat lama itu terbawa-bawa hingga ke hari ini. Jadi memang benarlah melentur buluh biar dari rebungnya, kalau tak dibentuk elok sehingga hari ini akan nampak cacat celanya (cacatkah aku? hahahah dalam penulisan mungkin aku memang cacat aku akui).

Cetusan kata dan idea memang bak air yang mencurah-curah pada waktu-waktu tertentu namun dengan komplikasi penulisan yang aku ada, itulah penyebab aku memendam kata-kata tersebut dan menyebabkan penulisan ku menjadi beku didalam minda yang lama-lama hilang di telan waktu. Satu pembaziran? aku sekadar gagal mengekpressi diri sendiri. Persoalan yang telah lama bermain dalam minda kecil ini. Mengeluh sendirian, itu sahaja yang aku mampu lakukan.

Aku kurang membaca, lenggok cara penulisan aku kurang fahami, dahulu aku memang cukup membaca cuma mungkin bahan bacaan itu lebih kepada keperluan (buku teks dan sekolah) atau minatku (majalah-majalah biasa). Kalau difikirkan aku dalam dilemma antara keperluan dan minat yang mana aku sendiri kekadang hilang dalam dua perkara ini. Menulis untuk ekpressi pertuturan atau menulis sebuah karya luahan rasa diri sendiri?. Lagi persoalan yang muncul, persoalan yang tak pernah putus dalam kehidupan seharian aku sebagai seorang insan.

Aku perlu belajar, aku masih seorang pelajar dalam dunia kehidupan. Adakah aku telah berhenti atau sekadar menahan langkah seketika (lama juga seketika yang aku ambil ini? mungkin terlalu lama itulah detik hati kecilku sekali lagi).

Mengosok dahi, di waktu otak berputar memproses segala pemikiran diketika ini. Menghela nafas panjang dan merenung segala persoalan yang bermain-main di dalam minda. Semberono atau seformal yang mungkin?. Aku perlu membezakan atau aku biarkan saja penulisan itu keluar semahunya tanpa aku perlu kisahkan.

Persoalan demi persoalan. Jawapan? Walahualam, moga-moga aku akan bertemu jalan yang memberikan kepuasan.

Wasalam

No comments:

Post a Comment